Skip to content

EKSPRESI TUNJUK MINAT (EOI) PROJEK TEMAN

    Ekspresi Tunjuk Minat (Expression Of Interest) bagi badan bukan kerajaan (NGO) di bawah naungan Majlis AIDS Malaysia (MAM) dalam pelaksanaan dan pelancaran ‘Projek TEMAN’ di bawah Program Pakej Pencegahan HIV Komprehensif (DHSKP) di penjara-penjara mengikut zon yang berikut:

    PENDAHULUAN

    Negara Malaysia mengalami wabak Human Immunodeficiency Virus (HIV) tertumpu (concentrated epidemic) dalam kalangan golongan berisiko tinggi dengan kadar jangkitan melebihi 5%. Bagi merealisasikan Pelan Strategik Kebangsaan Mengakhiri AIDS 2016-2030, program pengurangan kemudaratan dan rawatan ARV perlu dipertingkatkan lagi demi memastikan populasi kunci (KP); termasuk pengguna dadah secara suntikan di penjara; untuk menjalani ujian dan mendapatkan rawatan awal Methadone Maintenance Therapy (MMT) dan ubat Antiretroviral (ARV) yang selaras dengan Strategi 1 (Testing & Treatment for Ending AIDS) dan Strategi 2 (Improving the quality and coverage of prevention programmes among key populations).

    Inisiatif ini akan dilaksanakan bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) di bawah naungan Majlis AIDS Malaysia (MAM) melalui dana daripada The Global Fund (GF) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Penjara Malaysia (JPM).

    Bagi menjalankan projek ini, organisasi yang terpilih akan menerima sejumlah geran mengikut zon yang ditetapkan bermula pada 1 Julai 2022 sehingga 30 Jun 2023. Geran ini merangkumi kos emolumen bagi seorang staf sepenuh masa, elaun perjalanan, makan-minum untuk klien, komunikasi untuk staf dan dokumentasi. Sasaran klien akan ditetapkan mengikut senarai nama yang akan disediakan oleh jabatan penjara yang berkenaan.

    OBJEKTIF AM

    Projek TEMAN merupakan salah satu program pengurangan risiko HIV, Sexually Transmitted Infections (STI) dan Hepatitis C (HCV) yang disasarkan kepada mereka yang kembali ke pangkuan masyarakat setelah keluar dari penjara.

    MATLAMAT PROJEK

    1. Mengurangkan kadar jangkitan baru HIV dalam kalangan pasangan dan mereka yang rapat dengan bekas banduan mengikut sasaran yang ditetapkan.
    2. Meningkatkan kesedaran berkaitan dengan HIV, virus Hepatitis, Tuberculosis (TB) dan STI di kalangan banduan, pasangan dan keluarga.
    3. Meningkatkan akses kepada mereka yang berisiko tinggi untuk mengikuti perkhidmatan.
    4. Ujian dan rawatan HIV, HCV, TB dan STI termasuk pasangan dan keluarga mengikut keperluan projek.
    5. Mengurangkan kadar tahanan berulang atau kemasukan semula ke penjara.
    6. Membantu bekas banduan untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan secara tidak langsung membantu banduan untuk kembali ke persekitaran komuniti.
    7. Menggalakkan banduan yang bebas menjadi contoh kepada banduan yang lain dengan menjadikan mereka sebagai pembimbing rakan sebaya.
    8. Meningkatkan kesejahteraan psikososial klien.

    TATACARA PELAKSANAAN PROGRAM

    KRITERIA PEMILIHAN PESERTA
    1. Warganegara Malaysia.
    2. Berumur 18 tahun ke atas.
    3. Banduan yang telah dijatuhkan hukuman dan tidak termasuk mereka yang dikenakan tahanan reman.
    4. Mereka yang hidup dengan HIV, HCV, peserta MMT dan mereka yang berisiko tinggi.
    5. Persetujuan peserta secara sukarela.
    6. Peserta yang mempunyai baki hukuman sekurang-kurangnya 2 bulan.
    LATIHAN
    1. Latihan yang berkaitan dengan perlaksanaan Projek TEMAN adalah di bawah tanggungjawab Majlis AIDS Malaysia.
    2. Latihan akan diadakan sebelum perjalanan projek dilaksanakan.
    3. Latihan disasarkan kepada semua pihak yang terlibat sebagai pendedahan perjalanan aktiviti.
    MESYUARAT:
    1. Bertujuan bagi memberi maklumat perjalanan aktiviti semasa kepada semua pihak yang terlibat.
    2. Bagi membincangkan isu-isu berkaitan halangan, cabaran dan cadangan penambahbaikan perjalanan projek.
    3. Mesyuarat diadakan sekurang-kurangnya tiga (3) bulan sekali dan melibatkan semua pihak yang terlibat

    PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB

    JABATAN PENJARA MALAYSIA (JPM)

    JPM bertanggungjawab bagi memberi kerjasama di dalam:

    1. Mengenalpasti dan memilih penjara yang perlu menjalankan projek TEMAN bagi membantu banduan yang HIV/HCV positif.
    2. Penyediaan fasiliti dan keperluan ketika sesi dalam penjara diadakan.
    3. Mengenal pasti banduan HIV dan banduan yang berisiko terhadap jangkitan HIV di dalam penjara
    4. Menyediakan pegawai pengiring, tempat dan prasarana untuk pelaksana projek.
    MAJLIS AIDS MALAYSIA (MAM)

    MAM bertanggungjawab untuk pengurusan program secara keseluruhan termasuk pemantauan dan penilaian:

    1. Memberi hala tuju strategik dan khidmat nasihat perancangan, reka bentuk dan pelaksanaan program di peringkat implementasi.
    2. Mengurus prestasi program dan memberi bantuan teknikal kepada pekerja kes dan badan bukan kerajaan yang dilantik.
    3. Pembangunan dan pelaksanaan pemantauan dan penilaian selaras dengan prosedur pemantauan dan penilaian kebangsaan.
    4. Memastikan bahawa isu-isu berkaitan program dan cabaran-cabaran yang penting diurus dan diselesaikan secara berkesan.
    JABATAN KESIHATAN NEGERI/ FASILITI KESIHATAN
    1. Menerima kes rujukan daripada pekerja kes dan seterusnya melakukan ujian dan rawatan selepas banduan keluar dari penjara.
    2. Pegawai yang terlibat dan tugasan adalah tertakluk kepada SOP ARV dan SOP MMT yang sedia ada.
    PERANAN NGO DI BAWAH NAUNGAN MAM
    1. Mengadakan pertemuan dengan klien mengikut jadual yang telah ditetapkan.
    2. Menyelia dan menjalankan aktiviti sepanjang sesi 1-7.
    3. Berjumpa dan memberi perkhidmatan kepada klien dalam mana-mana sesi 1-7.
    4. Menyediakan laporan bulanan kepada pihak MAM.
    5. Mengeratkan hubungan profesional dengan Jabatan Kesihatan Negeri / Daerah dan pihak berkepentingan lain.

    PROSES PERMOHONAN DAN PEMILIHAN

    SIAPAKAH YANG BOLEH MEMOHON?

    Ahli gabungan Majlis AIDS Malaysia yang berminat untuk melaksanakan projek TEMAN di kalangan populasi kunci seperti yang dinyatakan di atas.

    PENGALAMAN YANG DIPERLUKAN

    Organisasi:
    Sedang melaksanakan program DHSKP di kalangan populasi kunci sekurang-kurangnya dua tahun yang lepas secara efektif.

    Pekerja kes:

    1. Pengetahuan asas mengenai HIV dan AIDS.
    2. Berkomitmen dan ingin membantu populasi kunci.
    3. Bekas banduan adalah amat digalakkan dan tidak mempunyai apa-apa rekod kesalahan jenayah di dalam jangkamasa 2 tahun yang terdekat.
    PROSES PEMILIHAN DAN PEMBERITAHUAN:

    Semua permohonan akan disemak semula oleh Majlis AIDS Malaysia berlandaskan kriteria yang ditetapkan di atas. Keputusan akan dimaklumkan melalui e-mel.

    Ahli gabungan yang berminat perlu mengemukakan butiran berikut kepada Cik Anushiya Karunanithy melalui emel ke [email protected] sebelum 17 Jun 2022:

    1. Klik, muat turun dan isi BORANG EKSPRESI TUNJUK MINAT UNTUK MELAKSANAKAN PROJEK TEMAN ini (ditandatangani oleh Jawatankuasa Eksekutif/EXCO)
    2. Maklumat ringkas mengapa organisasi anda berminat untuk melaksanakan projek TEMAN.